Syiar Islam Ulama_Minangkabau

Kepulauan Filipina

Menurut Tarsilah Sulu, seorang tokoh Minangkabau pernah sampai di Sulu, Filipina Selatan iaitu Raja Bagindo (bahasa Suluk: Rajah Baguinda),[13] yang tiba pada sekitar tahun 1397,[14] setelah melawati Zamboanga dan Basilan.[15] Di situ, baginda telah mengasaskan Kesultanan Sulu. Selain Filipina Selatan (Mindanao), baginda yang diperkirakan hidup pada akhir abad ke-14 itu disebut juga menyebarkan agama Islam di Brunei, Sarawak dan Sabah.[16]

Ahli antropologi Mochtar Naim menyatakan bahawa seorang lagi tokoh bernama Raja Sulaeman, yang dikatakan berketurunan Minangkabau telah menyebarkan agama Islam sehingga ke Manila (1570) sebelum kedatangan penjajah Sepanyol di sana.[17]

Sulawesi, Kalimantan, dan Nusa Tenggara

Masyarakat di Sulawesi juga pernah menerima kedatangan mubaligh Islam Minangkabau di situ. Lima orang tokoh bergelar 'datuk' dari Minangkabau iaitu Datuk Ri Bandang, Datuk Ri Tiro, Datuk Patimang, Datuk Karama dan Datuk Mangaji menyebarkan agama yang mereka anuti pada akhir abad ke-16 atau awal abad ke-17.[18] Menurut Lontara Gowa, Lontara Tallo dan Lontara Sukkuna Wajo, Datuk Ri Bandang, Datuk Ri Tiro dan Datuk Patimang dikatakan berasal dari Koto Tangah, Payakumbuh.[18]

Pada zaman pemerintahan Raja Ali Mahkota (memerintah 1525 hingga 1589), agama Islam disebarkan di kerajaan Kutai oleh Datuk Ri Bandang bersama-sama Tuan Tunggang Parangan. Sementara Datuk Ri Bandang pulang ke Sulawesi, Tuan Tunggang Parangan terus menetap di situ dan memainkan peranan besar dalam menyebarkan Islam, sehingga akhirnya ramai rakyat Kutai memeluk agama Islam.[19][20]

Datuk Ri Bandang dan Datuk Ri Tiro juga dikatakan sebagai tokoh yang membawa agama Islam ke Bima di Nusa Tenggara Barat.[21] Masyarakat di situ mengadakan satu upacara yang dipanggil Hanta Ua Pua untuk memperingati Maulud Nabi dan masuknya Islam ke Bima oleh mubaligh tersebut.[21]

Jawa

Terdapat juga kemungkinan bahawa di tanah Jawa terdapat ulama berketurunan Minangkabau. Masyarakat di kota Lasem, Jawa Tengah mengenali seorang tokoh bernama Sultan Mahmud (juga dikenali sebagai Sul­tan Minangkabaui). Menurut cerita rakyat, baginda telah terdampar di Lasem dan kemudiannya menjadi anak didik Sunan Bonang (1565–1525). Menurut cucu KH Ma'shum, Muhammad Zaim bin Ahmad, abangnya merupakan keturunan daripada Sultan Mahmud.[22]

Tanah Melayu

Pada abad ke-19, ramai ulama Minangkabau yang berkhidmat sebagai kadi dan imam di Tanah Melayu. Antaranya ialah Muhammad Saleh al-Minankabawi yang dilantik sebagai syeikh ul-Islam di Kesultanan Perak[23] dan saudaranya Utsman bin Abdullah menjadi kadi pertama di Kuala Lumpur.[24][25] Setelah al-Minangkabawi, mufti negeri Perak yang seterusnya juga daripada kalangan ulama Minangkabau iaitu Muhammad Zain Simabur.[23] Ismail al-Khalidi al-Minangkabawi pula merupakan ulama Tarekat Naqsyabandiyah, di mana ajaran tarekat beliau meluas sehingga ke Kesultanan Johor.[26][27][28]

Rujukan

WikiPedia: Ulama_Minangkabau http://rmaward.asia/awardees/maarif-ahmad-syafii/ http://www.ranaocouncil.com/history/?id=9 http://www.sumbaronline.com/berita-11142-perjalana... http://majalah.tempointeraktif.com/id/arsip/1990/0... http://www.tempointeraktif.com/hg/nusa/2008/11/05/... http://archive.wikiwix.com/cache/?url=http://majal... http://www.wisatamelayu.com/id/tour/1575-Makam-Teu... http://www.wisatanews.com/more.php?id=1216 http://www.academia.edu/6609095/SEJARAH_KEMASUKAN_... http://padangekspres.co.id/?news=berita&id=32547